DASAR PEMBANGUNAN KANAK-KANAK NEGERI SELANGOR DAN PELAN TINDAKAN 2022-2025

#

Pengenalan

 

Kanak-kanak merupakan aset negara dan modal insan yang bakal mengemudi tampuk kepimpinan negara. Oleh itu, pelaburan yang berterusan wajar diutamakan dalam aspek kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak mahupun masyarakat yang berhubung kait dengan perkembangan kehidupan mereka. Pembangunan modal insan ini dapat mencapai tahap optimum melalui penyediaan persekitaran yang selamat dan kondusif. Strategi teras yang dirangkumi dalam Dasar Kanak-Kanak Negara menegaskan elemen perlindungan untuk menjamin keselamatan kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi di samping mempertahankan hak mereka.


Seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang individu yang berada di bawah umur 18 tahun. Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara juga telah dibentuk berpandukan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001demi melindungi kebajikan dan kepentingan kanak-kanak di negara ini.


Kanak-kanak memerlukan tumpuan dan perhatian secukupnya daripada ibu bapa dan orang sekeliling apabila sedang membesar. Perubahan dan perkembangan fizikal, pembelajaran kemahiran dan skil, serta pergaulan dan interaksi dengan dunia luar segmen kanak-kanak wajar diberi fokus yang bersesuaian oleh para penjaga dan pemegang taruh supaya kanak-kanak dapat dibentuk secara menyeluruh. Pembangunan kanak-kanak merangkumi beberapa aspek, termasuk pembangunan kognitif dan fizikal, kemahiran bahasa dan perkembangan sosial.


Pembangunan kanak-kanak yang berlaku dari kelahiran hingga ke alam dewasa memerlukan usaha-usaha yang utuh untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan mereka dalam semua aspek kehidupan. Mereka bukan sahaja wajar dilengkapi dengan ilmu pengetahuan tetapi juga kemahiran dan skil sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran masa hadapan. Justeru, kerjasama dari pelbagai pihak berhubung kait dengan pembangunan kanak-kanak amat diperlukan untuk menghasilkan inisiatif yang pragmatik dan komprehensif sejajar dengan keperluan semasa.

OBJEKTIF DASAR PEMBANGUNAN KANAK-KANAK NEGERI SELANGOR 2022

a) Mengenalpasti tumpuan dan ruang lingkup utama berkaitan kanak-kanak di negeri Selangor, selari dengan keperluan dan ‘trend’ semasa.

b) Mencorak strategi pembangunan kanak-kanak di negeri Selangor dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.

c) Membangunkan program, inisiatif dan tindakan yang bersesuaian dengan latar belakang demografi dan psikografi kanak-kanak di negeri Selangor.

d) Meletakkan peranan dan tanggungjawab berhubung kesejahteraan kanak-kanak di negeri Selangor ke atas pemegang taruh umum dan spesifik.


Muat Turun Dokumen

1. Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor