Salam sejahtera dan Salam Integriti.
Sebagai sebuah badan awam yang bertanggungjawab terhadap pengurusan dan pelaksanaan program kebajikan rakyat Negeri Selangor, YAWAS sentiasa komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dilaksanakan dengan penuh integriti, telus dan berakauntabiliti.
Selaras dengan aspirasi tersebut, kami mensasarkan “Toleransi Sifar Terhadap Rasuah (Zero Tolerance Towards Corruption)” dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan YAWAS. Bagi memperkukuh usaha ini, Jawatankuasa Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) YAWAS telah ditubuhkan pada tahun 2023, dengan tanggungjawab membangun, merancang dan memantau pelaksanaan segala polisi serta mekanisme berkaitan integriti dan pencegahan rasuah. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kita untuk mewujudkan persekitaran kerja yang telus, berintegriti dan bebas daripada sebarang salah laku.
OACP YAWAS 2026–2030, yang dibangunkan untuk tempoh lima tahun ini, merupakan manifestasi komitmen warga kerja YAWAS dalam mendukung aspirasi dan agenda nasional kerajaan, khususnya dalam membanteras gejala rasuah dan pelanggaran integriti. Sesungguhnya, integriti merupakan asas penting yang perlu tertanam dalam diri setiap penjawat awam dan seluruh warga organisasi.
Pelan ini telah dibangunkan secara holistik dan menyeluruh, dengan mengambil kira cabaran semasa serta jangkaan masa hadapan. Ia mengandungi pelbagai inisiatif strategik yang bertujuan untuk menangani isu kelemahan tadbir urus, integriti dan risiko rasuah dalam organisasi, sekaligus memastikan pembangunan YAWAS kekal lestari, berdaya tahan dan bebas rasuah.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam penyediaan dan pembangunan OACP YAWAS 2026–2030.
Akhir kata, saya menyeru kepada semua warga YAWAS agar menghayati, memahami dan melaksanakan pelan ini dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Semoga pelan ini menjadi panduan dan rujukan penting dalam usaha kita bersama menjadikan YAWAS sebagai sebuah organisasi yang berintegriti tinggi, diyakini dan disegani.
Sekian, terima kasih.